mutakhir

Minta Dr M mohon maaf

Oleh Nursyahirah Marzuki

LAUNGAN 'Hidup Bugis' bergema di hadapan pintu masuk utama Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya bagi menzahirkan ketidakpuasan hati

terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Lebih 300 ahli Persatuan Bugis Negeri Johor (PBNJ) serta Majlis Penyelarasan Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung Johor) berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai yayasan berkenaan.

Perhimpunan bermula 11 pagi itu dimulakan dengan bacaan doa khusus untuk mantan perdana menteri berkenaan supaya dibuka pintu hati memohon maaf atas kenyataan disifatkan menghina.

Naib Presiden Gabung Johor Abdullah Md Yusof berkata, memorandum berkenaan dihantar susulan kenyataan Dr Mahathir berkaitan masyarakat Bugis pada Himpunan Anti-Kleptokrasi, baru-baru ini.

"Kami mewakili lebih 850 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menggesa beliau (Dr Mahathir) memohon maaf kepada masyarakat Bugis serta menarik balik kenyataan itu.

"Namun sekiranya beliau berkeras hati, keadaan akan jadi lebih teruk apabila gelombang Bugis menjadi lebih besar," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Bugis Negeri Johor, Datuk Awang Mohamad.

Dalam ucapan Dr Mahathir sebelum ini, beliau menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal daripada lanun Bugis sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Ekoran kenyataan itu, pelbagai pihak mewakili masyarakat etnik terbabit mendesak Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan itu.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 3:17pm
d