mutakhir

Mangsa mungkin murung

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI yang ditemui lemas di Sungai Kedah berhampiran Taman Sri Indah Sime Tyres, Alor Setar hari ini dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah hutang dengan ‘Ah Long’.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa, Abdus Samad Abdul Ohfoor, 45, yang bekerja sebagai pembantu kedai dipercayai keluar rumah di Taman Pelangi, Kuala Kedah dan tidak pulang pada hari kejadian, Isnin lalu.

Bagaimanapun katanya, motosikal Honda EX5 dinaiki mangsa ditemui berhampiran jambatan Ampang Jajar, pada hari sama.

"Usaha mengesan dan menyelamat turut dilakukan oleh polis dengan bantuan daripada pasukan bomba dan penyelamat serta orang awam.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi Sungai Kedah belakang Taman Sri Indah Sime Tyre Mergong.

"Hasil pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan pengecaman mayat kemudian dibuat oleh isterinya, " katanya.

Mohd Rozi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

'Jasad ayah ditemui pagi tadi...'

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 6:06pm
d