mutakhir

Pembayaran bil SADA di pejabat pos kembali

Oleh Aizat Sharif

PEMBAYARAN bil utiliti Syarikat Air Darul Aman (SADA) di kaunter pejabat Pos Malaysia yang dihentikan pada 2011 kini kembali berkuatkuasa 19 Oktober lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah mengembalikan semula akses pembayaran kepada pengguna untuk memberikan kemudahan kepada lebih 100,000 akaun pengguna di negeri itu dalam melunaskan pembayaran bil utiliti mereka dengan mudah.

"Langkah ini juga dilihat dapat meminimumkan tanggungan kos pengurusan kutipan hasil SADA selama ini.

"Malah, ia juga dapat memberi kemudahan kepada pengguna terutama di kawasan luar bandar disamping menngkatkan kutipan bil SADA secara efektif," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Tambahnya, langkah yang dilakukan adalah sebagai keprihatinan kerajaan negeri menerusi anak syarikat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

"Caj komisen sebanyak 90 sen bagi setiap transaksi pembayaran bil diserap sepenuhnya oleh pihak SADA bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

"Kita harap dengan kembalinya akses ini, pembayaran bil utiliti akan menjadi mudah serta dapat dimanfaatkan kepada semua pengguna di negeri Kedah," katanya.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri turut mengumumkan pelaksanaan program Kor Anak Laut (KORAL) di bawah Program Muafakat Komuniti Anak Muda Langkawi yang memberi bimbingan, memupuk semangat serta mengasuh cara pemikiran golongan anak muda di Langkawi melalui aktiviti fizikal dan pendidikan tidak formal dengan penekanan ke atas latihan kemahiran laut, ilmu pelayaran, kepimpinan dan khususnya pendedahan kepada khazanah perairan Langkawi.

"Program komuniti ini dianjur dan dikelola sepenuhnya oleh pihak Telaga Harbour Marina yang diterajui bekas pelayar negara yang pernah mengelilingi dunia, Datuk Azhar Mansor yang terletak dibawah naungan Pejabat Menterti Besar Kedah.

"Pusat KORAL ini berpengkalan di sebuah pulau buatan manusia dengan keluasan 0.972 hektar yang terletak lebih kurang 700 meter dari Telaga Harbour Marina berhadapan Pantai Kok yang dikenali sebagai Pulau Seratusa," katanya.

Beliau berkata, pulau berkenaan akan mejadi latihan amali dan praktikal untu kmelaksanakan aktiviti program KORAL secara menyeluruh.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 7:22pm
d