mutakhir

RM277,000 bantuan buat nelayan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SERAMAI 555 nelayan yang juga Sukarelawan Perikanan (SUPER) di Perak menerima bantuan Touch Point dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM 277,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk peralatan kepada nelayan seperti tong insulasi dan jaket keselamatan.

"Kita ingin memastikan nelayan dapat mengekalkan mutu hasil tangkapan dan menjamin harga ikan supaya mereka tidak rugi

selain tidak mengambil sikap sambil lewa dalam penyimpanan hasil yang ditangkap," katanya selepas program Moh Santai di Teluk Senangin, di Manjung hari ini.

Program santai itu adalah kerjasama Jabatan Perikanan negeri bersama Perak fm bersama komuniti Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM) Teluk Senangin.

Ia sempena program Pemukiman Menteri Besar Perak di Daerah Manjung dan objektif program adalah untuk mengeratkan hubungan agensi kerajaan bersama komuniti nelayan selain mendedahkan masyarakat mengenai kepentingan pengurusan perikanan melalui pendekatan ekosistem.

Beliau berkata, SUPER ditubuhkan bagi membantu memantau aktiviti perikanan, memulihara sumber dan ekosistem perikanan selain menjadi perunding dalam komuniti maritim.

"Justeru itu nelayan digalakkan menyertai SUPER dan sehingga kini seramai 700 nelayan di negeri ini sudah menyertainya," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 9:51pm
d