mutakhir

Doakan Zainun cepat sembuh

Oleh Nursyahirah Marzuki

RAKYAT Malaysia, Zainun Zurip, 58, yang diserang angin ahmar ketika bercuti di Bukit Tinggi, dekat Padang, Sumatera Barat, Indonesia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, 7.30 malam, hari ini.

Zainun yang berasal dari Sungai Rambai, Jasin, Melaka itu sepatutnya menghabiskan masa percutian bersama anaknya, Nur Ain Azman, 29, namun, dia diserang angin ahmar pada hari kedua percutian.

Nur Ain ketika ditemui berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak terutama Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) yang banyak membantu melancarkan proses kepulangan ibunya serta menaja setiap kos termasuk kos perubatan dan tiket penerbangan balik yang dianggarkan kira-kira RM15,000.

"Alhamdulillah, syukur tak terkata apabila perjalanan kami hampir tiga jam dipermudahkan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Malah, ibu juga turut menunjukkan perubahan yang positif sehingga hari ini namun, saya berharap supaya ibu kembali sihat seperti sedia kala," katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Indonesia di klia2, hari ini.

Kepulangan mereka itu disambut oleh Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Setiausaha BiKUM, Awie Shoubli Jamal.

Nur Ain berkata, ibunya akan terus dibawa ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan selanjutnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada BiKUM yang banyak memberi bantuan sepanjang proses kepulangan mereka.

"BiKUM menaja setiap kos yang ditanggung Zainun termasuk kos perubatan di rumah sakit dan perjalanan pulang

"Selain itu, mereka turut menghantar dua doktor dari Pasukan Perubatan BiKUM iaitu Dr Akmal Saleh dan Dr Erhan Rahimi untuk membantu membawa pulang pesakit berkenaan dalam kadar segera malah, saya turut menghantar beberapa sukarelawan bagi membantu mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersimpati terhadap kejadian yang menimpa Zainun dan bersedia membantu proses kepulangan mereka ke tanah air.

"Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi membawa pulang Zainun ke Malaysia.

"Semoga Zainun akan segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 10:48pm
d