mutakhir

Permit boleh digantung atau dibatalkan

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

LAPORAN pemeriksaan Kod Amalan, Keselamatan dan Kesihatan (iCOP SHE) pengusaha bas kilang yang terbabit nahas di Kilometer (KM) 147 Lebuh Raya Utara Selatan sebelum tol Juru arah utara, kelmarin dijangka diketahui lusa.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pasukan pemeriksa sudah dihantar untuk membuat pemeriksaan iCOP SHE syarikat bas kilang terbabit, hari ini (Rabu).

Menurutnya, sekiranya syarikat terbabit tidak memenuhi syarat ditetapkan, permit mereka akan digantung atau boleh dibatalkan.

“Kita jangka keputusan akan diketahui esok atau mungkin lusa kerana ia mengambil masa antara dua ke tiga hari.

“Pelaksanaan iCOP SHE terdiri daripada lima komponen berteraskan keselamatan termasuk pengurusan SHE (Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran), pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan risiko perjalanan dan pengurusan rekod secara teratur,” katanya ketika sidang media Operasi Halangan di Hentian Rehat Sebelah Rawang arah Selatan, hari ini.

Che Hasni berkata, SPAD dalam proses mengemaskini semua maklumat pemandu bas dan lori di negara ini bagi memudahkan urusan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap mereka.

Sementara itu, dalam Operasi Halangan, sebanyak 112 kes direkodkan setakat jam 11.30 malam.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah lori membawa muatan secara berbahaya dan tidak dibenarkan.

“Selain itu, kami turut mengesan lori menggunakan tayar rosak, sudah botak yang jelas mengancam keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 12:29am
d