mutakhir

Terima reaksi positif IBR

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima reaksi positif daripada kerajaan negeri Selangor dalam menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, perbincangan sudah diadakan, namun mereka perlu mendapatkan tarikh bersesuaian dan ia dijangka dilakukan November depan.

“Kita sudah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan dipanjangkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Hanya tunggu satu masa dan tarikh sesuai yang ditetapkan mereka.

“Jika mereka ada tambahan langkah integriti seperti yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang, itu terpulang. Mungkin ada tambahan yang akan dilakukan mereka dan kami akan kekal dengan IBR,” katanya ditemui pada majlis IBR Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah SPRM Selangor Amir Hamzah Idris, Pengarah LKIM Selangor Zulkarnain Ashaari dan Timbalan Pengarah LKIM Selangor Dianatul Azni Mohd Yazid Hassan.

Pada majlis itu, seramai 92 kakitangan LKIM Selangor termasuk kakitangan persatuan nelayan dan juruisytihar ikan melafazkan serta menandatangani IBR.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 5:54am
d