mutakhir

Kembali ke tanah air

Oleh Nursyahirah Marzuki

Sepang: Rakyat Malaysia, Zainun Zurip, 58, yang diserang angin ahmar ketika bercuti di Bukit Tinggi, Padang, Sumatera Barat, Indonesia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, malam tadi.

Zainun yang berasal dari Sungai Rambai, Jasin, Melaka sepatutnya menghabiskan percutian bersama anaknya, Nur Ain Azman, 29, namun diserang angin ahmar pada hari kedua percutian.

Nur Ain ketika ditemui berterima kasih kepada semua terutama Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) yang membantu melancarkan proses kepulangan ibunya serta menaja kos perubatan dan tiket penerbangan balik kira-kira RM15,000.

“Alhamdulillah, syukur tak terkata apabila perjalanan kami hampir tiga jam dipermudahkan dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Malah, ibu turut menunjukkan perubahan yang positif hingga hari ini, namun saya berharap ibu kembali sihat seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui.

Kepulangan mereka disambut Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Setiausaha BiKUM Awie Shoubli Jamal.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 5:56am
d