mutakhir

Amran Datuk Bandar MBJB baru

Oleh HM Digital

Johor Bahru: Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Amran A Rahman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang baru berkuatkuasa Isnin lalu.

Amran, 53, dilantik menjawat jawatan itu bagi menggantikan bekas Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor.

Pemasyhuran Amran sebagai Datuk Bandar diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday dalam Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Johor Bahru Ke-11 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, semalam.

Md Jais yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan surat pelantikan itu sebelum Amran membaca akuan terima jawatan serta mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan ikrar menentang rasuah.

Pada majlis itu, Amran turut disarungkan jubah dan kalung khas berbentuk daun gambir dan lada hitam serta bunga inai merah yang menjadi alat kebesaran Datuk Bandar Johor Bahru serta dipakaikan songkok Datuk Bandar MBJB oleh Md Jais dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Amran bercadang untuk meneruskan tradisi kecemerlangan MBJB bagi memenuhi visi menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 5:59am
d