mutakhir

Mata-mata di PPR

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur akan menempatkan seorang pegawai di semua 26 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dalam usaha memantau serta membasmi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan mendapati kes membabitkan dadah banyak berlaku di PPR dan pemantauan secara terus oleh pihaknya mampu membantu menangani masalah terbabit.

“Kalau kita lihat pada kes berkaitan dadah, PPR satu daripada kawasan aktif kes itu.

“Jadi, langkah meletakkan seorang pegawai di setiap PPR untuk memantau kegiatan berkenaan adalah tepat kerana pegawai itu akan bertanggungjawab terhadap sebarang kes dadah di bawah jagaannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konsep 5B Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Yaacob.

Konsep 5B itu merujuk kepada berketerampilan, berimej, berintegriti, bertenaga dan berpengetahuan dengan matlamat mahu melihat indeks jenayah di ibu kota dapat dikurangkan.

Antara amanat disampaikan Mazlan ialah usaha mencegah kes penipuan seperti Macau Scam, African Scam atau Love Scam.

Selain itu, ia turut membabitkan usaha menentang jenayah dalam kalangan anggota serta pegawai polis tanpa mengira cabang perkhidmatan, mencegah kegiatan pelacuran dan judi.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 6:25am
d