mutakhir

Mayat lelaki hilang ditemui

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di Sungai Kampung Tengah Hilir Gedong di Simunjan ditemui lemas, pagi hari ini.

Nazip Abang, 33, ditemui terapung oleh penduduk kampung di sungai berkenaan 6.50 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, penemuan mayat itu dilaporkan kepada bomba 7.07 pagi sebelum pegawai dan anggota dihantar ke lokasi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan Selasa lalu selepas bomba menerima maklumat mengenai kehilangannya.

"Dengan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan 8.30 pagi tadi," katanya.

Nazip sebelum ini dilaporkan keluar bersendirian untuk menangkap ikan di sungai berkenaan jam 12 tengah hari Selasa lalu.

Namun, mangsa tidak pulang ke rumah selepas 7.30 malam menyebabkan keluarganya memaklumkan kehilangan kepada pihak berkuasa.

Keluarga dan penduduk kampung yang keluar mencari pada hari sama menemui botnya tersadai dan pecah di tepi Sungai Lubuk Ngeris.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 10:30am
d