mutakhir

Keputusan tepat

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Keputusan ‘tidak popular’ yang dilaksanakan kerajaan sejak beberapa tahun lalu sudah memperlihatkan kesan yang sangat positif terutama dalam sektor pertumbuhan ekonomi.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, perkara itu dapat dibuktikan dengan pengenalan sistem percukaian baru menggantikan kaedah lama yang dilihat tidak lagi efektif.

“Jika kita melihat kepada landskap geopolitik di mana-mana sekali pun, jarang sekali pemimpin atau ketua negara memperkenalkan sistem percukaian baru kerana ia keputusan tidak popular.

“Namun, langkah kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memberi kesan positif selepas kejatuhan harga minyak dalam pasaran dunia.

“Ini contoh paling baik apabila kerajaan mengambil langkah perlu dan bukannya langkah yang popular untuk memenangi hati rakyat,” katanya, semalam.

Azmi berkata, perkara itu turut ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa langkah tidak popular kerajaan itu menyelamatkan ekonomi negara, sekali gus rakyat negara ini.

Semalam, Perdana Menteri menerusi satu kenyataan yang bertajuk Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia memberi fokus bahawa Bajet 2018 akan terus dipacu dengan mengambil keutamaan kepentingan rakyat serta memperbetulkan masalah lalu.

Najib dalam kenyataan itu berkata, keputusan sukar terpaksa dibuat kerajaan yang sudah pastinya tidak popular namun demi melindungi Malaysia, ia perlu dilakukan.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, ketika Perdana Menteri mengambil alih jawatan, kedudukan ekonomi negara tidak begitu baik.

“Saya bersetuju bahawa pakej rangsangan ekonomi besar berjumlah RM67 bilion itu sudah menampakkan hasilnya sekarang. Ketika banyak negara dunia menghadapi kemelesetan dan penguncupan ekonomi, sebaliknya berlaku apabila negara kita semakin positif.

“Biarpun Perdana Menteri mengakui kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia, ia hanya bersifat sementara,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 10:46am
d