mutakhir

Disiplin tinggi perluas saiz ekonomi negara

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia yang dijelaskan Perdana Menteri, kelmarin membuktikan Datuk Seri Najib Razak seorang pemimpin berdisiplin tinggi dalam menentukan bajet negara khususnya dalam usaha mengurangkan hutang dan meluaskan saiz ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini dapat dilihat melalui pencapaian memberangsangkan yang angkanya bukan saja diakui agensi kerajaan, bahkan badan berkenaan di luar negara yang memantau ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, contoh paling besar adalah kebergantungan pendapatan kerajaan terhadap sumber minyak dan gas sebanyak 41 peratus ketika Najib dilantik Perdana Menteri pada 2009.

“Namun jika dilihat hari ini angka kebergantungan itu berkurangan menjadi 14 peratus yang dibuat di bawah dasar modul ekonomi baru untuk mempelbagaikan lagi sumber ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan Ekspo Negaraku anjuran Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri di Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, saiz ekonomi negara juga berkembang daripada RM700 bilion menjadi RM1.3 trilion ketika ini dan dijangka melonjak sehingga RM2 trilion menjelang 2020.

“Begitu juga dengan keadaan fiskal defisit negara di mana hasil sikap disiplin Perdana Menteri menyaksikan bajet defisit atau hutang negara berkurangan menjadi 3.1 peratus berbanding 6.7 peratus pada 2009.

“Maknanya setiap tahun Perdana Menteri berjaya mengurangkan hutang negara, sekali gus menyebabkan kos pinjaman negara di pasaran antarabangsa juga berkurangan,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai tinjauannya ke tapak Ekspo Negaraku 2017 mendapati, kerja persiapan 70 peratus siap menjelang ekspo itu bermula 15 November hingga 15 Disember depan yang dibuka secara percuma setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 10:51am
d