mutakhir

Penuntut edar ganja dicekup

Oleh Nabihah Kamal

 

DUA penuntut universiti awam ditahan dalam serbuan di rumah yang diguna untuk membungkus dan mengedar ganja di Taman Bangi Avenue, Kajang, semalam.

Serbuan 6 petang yang dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang mendapati rumah yang disewa itu dijadikan 'port' untuk membungkus dan mengedar ganja di sekitar Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, dua suspek berusia 19 dan 20 itu ditahan selepas pihaknya menjumpai ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.

"Dadah seberat 23 gram bernilai RM250 itu dibungkus dengan kertas aluminium dan dijumpai di lantai satu daripada bilik rumah teres berkenaan.

"Susulan itu, dua suspek ditahan dan direman selama empat hari sehingga 29 Oktober ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan dikenakan hukuman penjara selama dua tahun hingga ke lima tahun serta dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 3:20pm
d