mutakhir

Vida tunai janji [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BIARPUN masih bersedih dan trauma dengan tragedi menimpa rakan mereka, 15 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah akui sangat teruja malah, bersyukur kerana diberi peluang menunaikan umrah di Tanah Suci.

Seramai 15 pelajar dan tiga tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan bertuah kerana menerima tajaan menunaikan umrah daripada Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida.

Vida memenuhi janjinya baru-baru ini untuk membawa pelajar tahfiz berkenaan ke Makkah supaya mereka dapat melupakan trauma dan tekanan berikutan tragedi kebakaran di pusat tahfiz itu pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa.

Kesemua mereka ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini sebelum dijangka berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH151 kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Vida turut berkesempatan bertemu dengan semua pelajar dan guru pusat tahfiz berkenaan sebelum berlepas ke Brunei bagi program sesi bertemu rakan perniagaan serta peminatnya.

Salah seorang pelajar berkenaan, Syamin Che Azmi, 18, menganggap rezeki menunaikan umrah sebagai satu 'pengorbanan' oleh rakan-rakannya yang maut dalam tragedi kebakaran itu malah, ia sudah diatur dan tertulis untuk mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu.

Menurutnya, dia juga akui masih teringatkan tragedi malang itu dan sukar untuk melupakan perkara itu.

"Bagaimanapun, benda yang lepas tidak elok dikenang. Saya bersama rakan-rakan lain pasti merindui mereka," katanya yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan apabila tangan kanannya melecur akibat kebakaran itu.

Sementara itu, ibu Syamim, Norizan Omar, 52, bersyukur anak bongsunya terselamat dalam kebakaran itu biarpun pada mulanya sering dilihat menangis kerana teringatkan rakan-rakan yang terkorban.

"Syamim banyak rapat dengan arwah Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, yang maut dalam tragedi berkenaan dan menganggap mereka sebagai adik sendiri. Mereka sangat rapat dan saya akui Syamim sedih di atas pemergian mereka bertiga," katanya.

Selain itu, Afiq Zulkafli, 11, berkata, dia tidak sabar untuk berdoa di hadapan Kaabah supaya semua rakan-rakannya yang terkorban dalam tragedi berkenaan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

"Saya masih teringatkan mereka dan tidak sabar untuk berdoa banyak-banyak untuk mereka," katanya.

Selain itu, guru di pusat tahfiz berkenaan, Mohamad Huzaifah Abdul Rahman, 25, berkata, dia bersama dua guru lain merancang untuk mengadakan majlis khatam Quran; tahlil dan doa selamat untuk arwah pelajar-pelajar yang terkorban dalam kejadian itu ketika berada di Tanah Suci.

"Kami berharap dapat melakukan majlis berkenaan jika ada kesempatan dan ruang waktu," katanya.

Dalam pada itu, Vida ketika ditemui berkata, beliau sepatutnya menemani pelajar tahfiz berkenaan untuk menunaikan umrah namun, disebabkan beberapa kekangan dan masalah, perkara itu tidak dapat dilakukan.

"Saya baru sahaja pulang dari menunaikan umrah pada Selasa lalu. Saya berharap mereka dapat menunaikan umrah dengan sempurna.

"Mereka adalah insan-insan yang terpilih kerana berpeluang menunaikan umrah pada usia muda," katanya.

Katanya, beliau turut merancang untuk membawa baki empat lagi pelajar pusat tahfiz berkenaan yang masih dirawat di hospital untuk menunaikan umrah pada masa depan.

Selain itu, katanya, beliau juga akan membawa kesemua pelajar tahfiz berkenaan ke rumahnya di Ipoh bagi menamatkan baki pengajian yang tertangguh sebaik mereka pulang dari Tanah Suci pada 5 November ini.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 4:00pm
d