mutakhir

Guna WeChat tawar khidmat seks

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

MENAWARKAN khidmat seks dengan bayaran antara RM160 hingga RM200 menerusi aplikasi WeChat dan menetap di satu lokasi dalam masa singkat menjadi modus operandi dalang sindiket pelacuran wanita Vietnam.

Tiga lelaki berusia antara 19 hingga 38 tahun yang mendalangi kegiatan itu turut dikesan memperdayakan wanita Vietnam berusia 18 tahun dengan menjadikan mangsa sebagai pelacur untuk mempromosikan perkhidmatan seks menggunakan enam nama di aplikasi WeChat.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas ditahan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sebuah hotel di Kuala Terengganu pada 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, siasatan mendapati kumpulan itu bergerak dari satu lokasi ke lokasi menggunakan van dan berada di satu tempat dalam tempoh antara satu hingga dua minggu bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

"Selain Terengganu, kumpulan sama sudah berada di Kedah dan Kuala Lumpur dengan menggunakan modus operandi sama untuk mencari pelanggan.

"Hasil siasatan, wanita terbabit memaklumkan dia dipaksa melakukan kerja berkenaan dan menerima separuh daripada bayaran pelanggan.

"Soal siasat mendapati kumpulan itu baru seminggu berada di negeri ini untuk menjalankan kegiatan pelacuran.

"Dalam serbuan itu, polis merampas kondom, wang tunai sebanyak RM380, telefon bimbit, buku nota dan van yang dipercayai digunakan sebagai pengangkutan untuk mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain," katanya pada sidang media di IPK Terengganu hari ini.

Fazlisyam berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud pihak lain yang turut mendalangi kegiatan itu.

Menurutnya, pihaknya juga menyiasat jika ada wanita lain yang dipaksa menjadi pelacur oleh kumpulan berkenaan.

Katanya, semua suspek direman sehingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 4:54pm
d