mutakhir

Gempur 550 premis judi dalam talian

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS Johor menggempur sebanyak 550 premis judi dalam talian menerusi Ops Dadu Khas di seluruh negeri ini sejak Julai lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya juga mempunyai 550 Waran Geledah yang dikeluarkan mahkamah sepanjang pelaksanaan operasi itu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor melaksanakan Op Dadu Khas ke atas kegiatan perjudian bermesin (judi dalam talian) dan melumpuhkan kegiatan haram di seluruh Negeri Johor.

"Op Dadu Khas yang dilaksanakan sejak Julai itu menggempur sebanyak 550 premis yang pernah dijadikan tempat menjalankan aktiviti perjudian on-line dan pemeriksaan oleh Polis Johor dengan berbekalkan sebanyak 550 Waran Geledah dikeluarkan oleh Mahkamah dalam perlaksanaan operasi yg dijalankan mulai Julai hingga semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 440 premis disyaki menjalankan aktiviti mesin perjudian diserbu.

"Ia menghasilkan 2,789 tangkapan dan 8,815 rampasan, selain sebanyak 172 premis sudah dipotong bekalan letrik.

"PDRM menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat sekiranya aktiviti judi dalam talian masih beroperasi di seluruh Johor," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 4:57pm
d