mutakhir

Seorang ditahan, cari lagi dua

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS menahan seorang daripada tiga lelaki selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan samun bersenjatakan parang dan besi dalam kejadian di kilang besi di Jalan Skudai di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat pemilik kilang berusia 41 tahun semalam selepas premisnya didatangi tiga lelaki terbabit.

Menurutnya, kejadian disedari mangsa selepas dihubungi tiga pekerjanya yang juga warga Myanmar mengenai semua suspek melakukan samun berkumpulan dengan senjata tajam.

"Pekerja pengadu mengatakan kilang besi di Jalan Skudai dipecah masuk oleh tiga lelaki tidak dikenali dengan mengacukan parang dan besi ke arah pekerja pengadu.

"Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan barang-barang di dalam kilang itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pada 8.40 malam semalam, polis dari Balai Polis Taman Tun Aminah pergi ke kilang besi dan berjumpa dengan pengadu.

"Pengadu memberitahu suspek melarikan diri ke kawasan belukar di belakang kilang. Hasil siasatan di kawasan belukar terbabit, menemui seorang suspek sedang bersembunyi di situ.

"Berlaku pergelutan suspek dengan polis selepas suspek bertindak agresif, namun berjaya ditahan sejurus kemudian," katanya.

Katanya hasil soal siasat, suspek yang bersenjatakan parang masuk ke kilang sebelum mengarahkan tiga pekerja berdiam diri.

"Mereka kemudian mengambil beberapa barang yang ada dalam kilang itu," katanya.

Katanya, berikutan penahanan suspek itu, polis merampas barangan kilang itu yang diambil suspek termasuk mesin kimpalan, mesin gerudi, mesin pengilap, alat penyembur cat, mesin penebuk lubang dan alat pengecas bateri.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Polis menahan reman suspek hari ini untuk siasatan lanjut, selain sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 6:03pm
d