mutakhir

Roti canai 'Hijau Kuning' percuma

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PEMILIK Restoran Didie Roti Canai di Taman Tunku Maheran, Jitra, mengotakan janjinya apabila memberi roti canai 'Hijau Kuning' percuma kepada pelanggannya mulai 8 malam hari ini..

Ia sebagai menghargai sokongan peminat pasukan Kedah dan menyemarakkan suasana menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah melawan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada 4 November ini.

Malah, pemiliknya, Mohd Najmuddin Mohd Nor, 30, menyediakan 600 doh roti canai untuk penyokong Hijau Kuning yang hadir di restorannya malam ini.

Katanya, setiap roti canai itu dibuat daripada empat doh menggunakan warna iaitu hijau dan kuning untuk menghasilkan roti yang menarik dengan menggunakan 20 kilogram tepung gandum.

"Saya gembira usaha ini mendapat sambutan dan orang ramai datang awal untuk mendapatkan roti canai Hijau Kuning percuma ini.

"Semua ini dilakukan selepas saya melihat semangat kuat penyokong yang tidak jemu menyokong pasukan Hijau Kuning.

"Namun, pelanggan hanya boleh menikmati roti canai Hijau Kuning terhad untuk malam ini saja," katanya ditemui di restorannya.

Mohd Najmuddin berkata, dia membuat hebahan untuk memberi roti canai percuma itu melalui Facebook selain bertemu dengan pelanggan di restorannya.

Peminat Hijau Kuning, Zara Azzahra Roslin, 33, berkata, dia gembira apabila pemilik restoran itu sanggup menyediakan roti canai percuma sebagai tanda sokongan kepada pasukan Kedah.

Katanya, walaupun akan berdepan dengan pasukan hebat iaitu JDT,namun dia yakin pasukan Hijau Kuning akan muncul juara dalam perlawanan akhir itu disebabkan semangat berpasukan yang ditunjukkan pemain.

"Saya tak pernah lepaskan peluang untuk menonton setiap perlawanan bola sepak yang membabitkan pasukan Kedah kerana sudah lama meminatipasukan ini," katanya.

Nur Atieka Mohd Azizi, 23, berkata, sebaik mengetahui Restoran Roti Canai Didie mahu mengadakan kenduri roti canai Hijau Kuning, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmatinya.

Katanya, roti canai Hijau Kuning itu lebih besar daripada biasa dan berpuas hati menikmati hidangan itu.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 9:16pm
d