mutakhir

240 biri-biri lesap

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PEMILIK ladang ternakan kerugian hampir RM250,000 apabila 240 biri-biri dan lima kerbau miliknya hilang dipercayai dilarikan penjenayah di Sungai Sebaling, Jempol, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pemilik berusia 36 tahun menyedari kejadian itu ketika menjalankan pemeriksaan di kandang haiwan terbabit pada 2.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati 240 ekor biri-biri tiada dalam kandang. Seterusnya mangsa membuat pemeriksaan di kandang kerbau dan dapati lima ekor haiwan itu turut hilang.

“Mangsa melihat ada kesan tayar lori di sekitar kandang selain menemui alat suntik dipercayai digunakan suspek untuk melalikan kerbau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, sebelum kejadian hujan lebat dan mangsa menyedari tiga lori memasuki kawasan ladang tetapi menyangka kenderaan terbabit membawa anak pokok sawit.

Katanya, polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang giat mengesan suspek.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Ladang Geddes di talian 06-46112222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4583449.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 9:45pm
d