mutakhir

Penyambung rawatan

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Wakaf Selangor Muamalat menyumbangkan enam mesin hemodialisis berharga RM261,680 kepada dua pusat dialisis di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) untuk menampung pertambahan keperluan pesakit buah pinggang.

Ini berikutan mesin hemodialisis sedia ada di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Shah Alam dan Sungai Besar sudah uzur dan sudah luput jangka hayatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata, sumbangan itu diberikan berikutan keperluan mendesak bagi menampung jumlah pesakit yang bertambah.

“Memang banyak permintaan (penggunaan mesin dialisis), namun kita melihat kepada keperluan pusat berkenaan seterusnya kumpulan sasaran yang boleh menggunakan mesin ini.

“Kita percaya kedua-dua pusat ini sangat memerlukannya apatah lagi mesin sedia ada sudah lama dan perlu diganti,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan mesin hemodialisis kepada YIDE, di sini, semalam.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE Nur Mohd Razali Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE Ami Nardin Ishak.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata, setiap mesin hemodialisis berkenaan boleh menampung 12 pesakit dan pihaknya sangat bersyukur dengan sumbangan terbabit kerana mampu membantu orang ramai.

“Setiap sesi rawatan menggunakan mesin ini dicaj RM150 dan hari rawatan adalah dari Isnin hingga Sabtu.

“Setakat ini kita mempunyai 265 pesakit di enam pusat dialisis iaitu di Shah Alam, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati, Klang dan Bukit Jelutong.

“Pada masa sama, kita juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma kepada pesakit supaya rawatan dapat diberikan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, mesin hemodialisis itu diperuntukkan masing-masing tiga mesin untuk cawangan pusat dialisis MAIS di Shah Alam dan Sungai Besar.

Katanya, kedua-dua pusat berkenaan sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu dan memerlukan mesin baru berikutan digunakan hampir setiap hari dengan tiga kali sesi iaitu pagi, petang dan malam.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 3:55am
d