mutakhir

Didik keselamatan jalan raya seawal usia

Oleh HM Digital

Shah Alam: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor komited menggiatkan kempen keselamatan jalan raya untuk pejalan kaki dalam kalangan murid sekolah.

Timbalan Pengerusinya Datuk Mazalan Md Noor berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Perjalanan Selamat iaitu aktiviti tahunan MKJR dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor serta sekolah.

“Tumpuan MKJR bukan saja pengguna dewasa, malah fokus kami juga kepada golongan muda kerana kita tahu pengaruh murid atau kanak-kanak sangat besar kepada keluarga dan masyarakat umum.

“Kami positif peranan kanak-kanak ini terhadap keselamatan jalan raya sebab itu mahu meningkatkan pendidikan keselamatan jalan raya pada peringkat awal usia.

“Program ini juga memberi tumpuan kepada murid-murid yang berjalan kaki dan menunggang basikal kerana membabitkan banyak sekolah di pinggir mahupun di luar bandar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Perjalanan Selamat Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, di sini, semalam.

Katanya, MKJR juga menumpukan kepada penubuhan kelab keselamatan jalan raya di semua sekolah di negeri itu.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 3:58am
d