mutakhir

Tempah umrah online

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Pengenalan platform digital untuk tempahan umrah menerusi portal pertama dunia, GoUmrah dijangka menarik minat kira-kira 12,000 bakal jemaah umrah yang akan menggunakan perkhidmatan itu untuk menguruskan sendiri perjalanan ibadat masing- masing.

Portal tempahan itu dikendalikan Sri Sutra Travel Sdn Bhd dengan menyediakan kemudahan kepada bakal jemaah memilih waktu, mengatur dan menempah atur cara sendiri untuk mengerjakan umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Sutra Datuk Seri Syed Mohd Razif Al Yahya berkata, inisiatif itu bertujuan menyediakan alternatif kepada semua bakal jemaah terutama dalam kalangan pasaran sedia ada seperti golongan muda, korporat serta pengembara kerap melakukan perjalanan.

Katanya, berbeza dengan konsep umrah DIY (do it yourself), platform berkenaan beroperasi mengikut undang-undang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan serta Kementerian Haji Arab Saudi.

“Platform ini dapat memudahkan umat Islam menguruskan tempahan mereka seperti penerbangan, hotel, pengangkutan, insurans serta visa. Proses tempahan perlu dilakukan mengikut aturan bagi membolehkan bakal jemaah memohon visa menerusi muassasah kami iaitu al-husam di Arab Saudi.

“Portal ini sudah mula beroperasi dan pengguna perlu melakukan tempahan penerbangan 21 hari sebelum berlepas bagi memudahkan kami melakukan urusan serta pemprosesan dokumen. Pengguna diberi kebebasan untuk membuat pilihan sama ada penerbangan atau hotel dan membandingkan harga mengikut bajet mereka.

“Pada musim lalu, terdapat 260,000 jemaah dari Malaysia menunaikan umrah dan sasaran kita cuma lima peratus atau 12,000 orang yang akan menggunakan portal ini terdiri daripada golongan muda, korporat serta pengembara kerap melakukan perjalanan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran portal GoUmrah, di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Sri Sutra Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.

Selain itu, Mohd Razif berkata, mereka turut bercadang memperluaskan perkhidmatan portal berkenaan ke Indonesia pada bulan depan menerusi kerjasama dengan rakan kongsi di negara berkenaan.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 4:05am
d