mutakhir

11 kilang ais tiada lesen

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Hanya sembilan daripada 20 kilang ais yang beroperasi di Kelantan mempunyai lesen diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, sembilan kilang berlesen itu masing-masing beroperasi di Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Beliau berkata, pihaknya bertemu pengurusan kilang yang tidak berlesen dan menasihati mereka membuat permohonan dan mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan.

“Sekiranya mereka masih ingkar dan tetap menjalankan operasi tanpa lesen, tindakan penguatkuasaan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan diambil.

“Ini termasuk mengenakan denda tidak melebihi RM5,000.

“Perkara ini serius kerana operasi tanpa lesen diragui kebersihannya. Dengan adanya lesen, pemantauan tahap kebersihan dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat dan Pengiktirafan Program Jaminan Keselamatan Makanan 2017 Negeri Kelantan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Natrah Abu Bakar dan Pengurus Besar Tesco Kota Bharu Thinesh Subramaniam.

Dalam pada itu, Ahmad Razin berkata, pihaknya memeriksa 9,090 premis makanan sehingga September lalu dan 3,550 daripadanya diberi Gred A bagi penilaian kebersihan.

“Sebanyak 4,877 memperoleh Gred B dan 657 Gred C. Enam premis lagi memperoleh Gred D dan diarah tutup,” katanya.

Menerusi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula, 1,793 Notis 32B dikeluarkan kepada premis makanan yang gagal mematuhi aspek kebersihan dan penyediaan makanan.

Katanya, sehingga kini, hanya 136 premis makanan di Kelantan diiktiraf di bawah BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat).

Terdahulu, beliau menyampaikan piala dan sijil penghargaan kepada medan selera pasar raya besar Tesco yang dianugerahkan juara Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat di Kelantan.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 4:13am
d