mutakhir

Penyamun 'borong' 240 biri-biri

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Seorang pemilik ladang ternakan kerugian hampir RM250,000 apabila 240 biri-biri dan lima kerbau miliknya hilang dipercayai dilarikan penjenayah di Sungai Sebaling, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pemilik berusia 36 tahun itu menyedari kejadian terbabit ketika melakukan pemeriksaan di kandang miliknya pada jam 2.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati 240 biri-biri tiada dalam kandang. Seterusnya mangsa membuat pemeriksaan di kandang kerbau dan mendapati lima haiwan itu turut hilang.

“Mangsa melihat ada kesan tayar lori di sekitar kandang selain menemui alat suntik dipercayai digunakan suspek untuk melalikan kerbau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, sebelum kejadian, hujan lebat dan mangsa menyedari tiga lori memasuki kawasan ladang, tetapi menyangka kenderaan terbabit membawa anak pokok sawit.

Katanya, polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan kini giat mengesan suspek.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Ladang Geddes di talian 06-46112222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, 06-4583449.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 4:32am
d