mutakhir

Kepala berbalut plastik hitam [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Seorang lelaki ditemui mati tergantung dengan tali dan bahagian kepala berbalut plastik hitam di kawasan tandas lelaki sebuah gereja di Kampung Dennistown, di sini, semalam.

Mangsa, S Kalaiselvan, 47, dipercayai dari Pulau Pinang, manakala ibu bapanya berasal dari kampung berhampiran.

Saksi, M Selvanagayam,67, yang juga pengerusi dan penjaga gereja itu berkata, dia menjalankan rutin harian meninjau dan membersihkan kawasan gereja jam 10 pagi.

Katanya, ketika melalui kawasan tandas, dia terkejut melihat seorang lelaki tidak berbaju dan berkain seperti sami berdiri diatas kerusi yang dilapikkan secara bertingkat-tingkat di kawasan tandas lelaki di situ.

“Pada awalnya saya sangkakan lelaki itu hanya berdiri, namun selepas diamati secara dekat, kelihatan dia seperti tidak bernyawa dalam keadaan tergantung dengan kaki sebelah terjuntai dan lebih mengejutkan apabila kelihatan satu plastik hitam menutupi kepala dan wajahnya.

“Saya kemudian menghubungi rakan dan penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 10:23am
d