mutakhir

Piawai pengurusan anti rasuah dilancar

Oleh Hayati Ibrahim

JABATAN Standard Malaysia (Standard Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan piawaian Malaysia dikenali Malaysian Standard MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) bagi memberi panduan dan membantu sesebuah organisasi melaksana serta menambahbaik sistem pengurusan anti rasuah dalam organisasi berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, sistem ini akan menjadi panduan pencegahan rasuah kepada semua pihak sejajar dengan cadangan pindaan rang undang-undang berkaitan peruntukan korporat liabiliti dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang akan dibentang di Parlimen tidak lama lagi.

Katanya, korporat liabiliti adalah satu peruntukan kesalahan bagi memastikan amalan akauntabiliti atau kebertanggungjawaban syarikat serta organisasi dalam usaha yang secara tidak langsung memberi impak positif kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta SPRM 2009dan program pencegahan rasuah yang dilaksanakan.

"Menerusi pelaksanaan peruntukan korporat liabiliti kelak, tindakan juga boleh diambil terhadap syarikat jika pekerja atau pegawai yang menerima rasuah bagi pihak syarikat seperti meluluskan sesuatu tender.

"Denda yang amat tinggi akan dikenakan terhadap syarikat berkenaan yang didapati menerima rasuah,","katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Seminar MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS)- Keperluan Dengan Panduan Untuk Digunakan di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia) Datuk Fadilah Baharin.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Standardisasi Jabatan Standard Malaysia Ridzwan Kasim.

Shamshun berkata, MS ISO 37001:2016 menggariskan pelbagai polisi dan prosedur yang boleh dipatuhi dan digunakan oleh organisasi sebagai ukuran kawalan sistem pencegahan rasuah.

Katanya, ia bagi membantu syarikat atau organisasi melaksanakan sistem pengurusan yang efektif dalam mencegah, mengesan dan menangani rasuah yang boleh berlaku dalam sesebuah organisasi.

Menurutnya, standard ini diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam menggalakkan amalan tadbir urus baik organisasi yang boleh digunapakai sebagai satu medium untuk melaksanakan sistem pengurusan anti rasuah yang berkesan.

"Organisasi terutama komuniti perniagaan digalakkan menggunakan standard ini secara menyeluruh bagi meningkatkan imej organisasi masing-masing.

"Buat masa ini, pematuhan kepada MS ISO 37001:2016 adalah secara sukarela sehingga ia diwartakan atau dirujuk dalam akta atau peraturan teknikal yang berkenaan,"katanya.

Katanya, SPRM sebagai pengawal selia pencegahan rasuah di Malaysia dan pemilik skim kepada Program Akreditasi ABMS akan memastikan badan pensijilan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia adalah kompeten dan mempunyai pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang pencegahan rasuah di negara ini.

Menurutnya, ia bagi memastikan organisasi yang mendapat pengiktirafan MS ISO benar-benar melaksanakan tadbir urus baik dan bukan bersifat retorik.

Sementara itu, Fadilah berkata, inisiatif membangunkan piawaian ini dilaksanakan sejak Mac lalu dengan menggunapakai secara terus standard antarabangsa ISO 37001 ABMS.

Katanya, MS ISO 37001:2016 mendapat kelulusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri DrMaximus Johnity pada 17 Oktober lalu.

"MS ini menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujud, melaksana, mengekal dan memperbaiki sistem pengurusan anti rasuah, malah sistem ini boleh wujud secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada atau menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

"Menerusi MS, diharapkan ia dapat membantu sektor awam, swasta dan entiti bukan berasaskan keuntungan melaksanakan langkah sewajarnya untuk mencegah jenayah rasuah dalam agensi mereka,"katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 12:38pm
d