mutakhir

Rangka sawat punca nahas Hawk

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

TENTERA Udara Diraja Malaysa (TUDM) mengesahkan masalah teknikal pada bahagian rangka sawat menjadi punca nahas pesawat Hawk 108 M40-02 milik mereka terhempas dan mengorbankan dua juruterbang pada 15 Jun lalu.

Panglimanya Tan Sri Affendi Buang berkata, berdasarkan siasatan dilakukan pasukan khas ditubuhkan berjaya mengenal pasti punca nahas berkenaan dan kini pasukan itu sedang merangka beberapa pelan untuk memeriksa pesawat sedia ada supaya kejadian sama tidak berulang.

“ €œPunca sudah dikenal pasti dan pasukan khas akan periksa baki pesawat. Jika perlu diperbaiki ia akan dibaiki dengan kadar segera.

“ Sebagai tindakan susulan selepas kejadian kami sudah pun membuat penyelenggaraan terhadap dua pesawat dari jenis yang sama bulan lalu,”€ katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sijil dan sayap penerbangan Kuartermaster udara di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian itu, dua juruterbang TUDM, Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Mejar Mohd Hasri Zahari terkorban selepas pesawat Hawk 108 M40-02 dikendalikan mereka dalam latihan terhempas di Chukai, Terengganu.

Affendi berkata, semua pesawat yang sudah diselenggara akan menjalani beberapa siri ujian bagi memastikan aset negara itu berada dalam keadaan baik dan sentiasa bersedia apabila diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, pihaknya sudah memutuskan untuk memindahkan pusat pemerintahan Markas Udara Satu yang sebelum ini berpengkalan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi ke Pangkalan Udara Kuantan pada tahun depan.

Katanya, proses pemindahan itu membabitkan 200 pegawai dan anggota markas berkenaan.

“ Pangkalan Udara Kuantan akan menjalani beberapa proses tambah baik dan pembinaan prasarana baru. Kami akan membina bangunan baru untuk menggantikan bangunan dan kuaters yang dirobohkan.

“ Saya harap proses ini dapat disiapkan segera supaya perancangan memindahkan pusat pemerintahan Markas Wilayah Satu dapat dilakukan tahun depan,”€ katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 12:57pm
d