mutakhir

Anak emak kongsi hisap syabu!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin 

 

REMAJA perempuan berusia 15 tahun bersama teman lelakinya berusia 17 tahun diberkas anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Bersepadu dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 10 pagi semalam.

Pasangan itu turut ditahan bersama ibu remaja lelaki itu berusia 41 tahun di

sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak di sini.

Ketua Pegawai AADK Cawangan Cheras Mohd Azlan Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka diberkas di rumah itu selepas keluarga terbabit disyaki menagih dadah syabu.

Menurutnya, seorang bayi lelaki berusia dua tahun turut didapati berada di dalam kediaman itu.

“Difahamkan seorang wanita berusia 23 tahun menghantar bayi itu untuk dijaga di kediaman itu.

“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga penghuni rumah itu positif mengambil dadah syabu. Kami kemudian memanggil ibu bayi itu untuk disoal siasat. Pemeriksaan turut mendapati wanita terbabit positif menagih syabu,” katanya.

Azlan berkata, hasil soal siasat awal mendapati wanita berusia 41 tahun itu membuat kerja sambilan sebagai pengasuh dan tinggal bersama anak lelakinya yang tidak lagi bersekolah.

"Individu yang ditahan turut mengaku pernah menagih dadah di hadapan bayi lelaki itu tanpa rasa bersalah," katanya.

Katanya, semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat AADK Cawangan Cheras untuk tindakan lanjut manakala dapur yang digunakan untuk menagih dadah turut dirampas. 

  

 

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 4:48pm
d