mutakhir

Beg tangan diragut depan rumah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SURI rumah kerugian RM4,500 selepas beg tangannya diragut dua lelaki yang menunggang motosikal di hadapan rumahnya di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, petang semalam.

Dalam kejadian 4.10 petang itu, mangsa yang berusia 56 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian mangsa berada di hadapan rumahnya.

"Ketika mangsa ingin membuka pintu, secara tiba-tiba dia didekati dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC dari arah belakang.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan rumah mangsa mendapati, pembonceng motosikal dilihat turun daripada motosikal dan terus meragut beg yang berada di bahu kiri mangsa dan terus melarikan diri," katanya hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

"Kerugian dianggarkan berjumlah RM4,500 apabila beg tanganyang berisi pelbagai barang milik mangsa termasuk kad pengenalan, rantai leher, wang tunai RM15 dan dua telefon bimbit.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Rakaman kejadian itu tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak malam semalam.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 7:18pm
d