mutakhir

Bajet terperinci

Oleh Isma Ismail

PERANCANGAN projek fizikal dan peruntukan Kerajaan Pusat untuk Terengganu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018, hari ini, termasuk pelaksanaan Projek ECRL, rumah MyBNHomes, menaiktaraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disifatkan sebagai bajet terperinci.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri berterima kasih terhadap perancangan dan peruntukan berkenaan.

Menurutnya, ia membuktikan bahawa Perdana Menteri seorang yang sangat berani dan sentiasa mencabar kelaziman dan pihaknya sangat gembira kerana beliau turut membuat huraian terhadap pelaksanaan pembangunan negara yang merujuk dan berasaskan kepada Maqasid Syariah dan ia sesuatu yang sangat besar ertinya.

"Di sebalik cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu dan harga minyak yang jatuh di pasaran dunia, ekonomi negara kita diurus dengan sangat baik sehingga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan agensi penarafan antarabangsa.

"Mesej saya di sini ialah negara kita adalah negara yang hebat dan berjaya. Malaysia bukan negara gagal sepertimana tohmahan pembangkang malah Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib mempunyai perancangan, hala tuju dan wawasan yang jelas untuk masa hadapan negara dan rakyat melewati 2050," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Ahmad Razif, jelas bahawa penyediaan Bajet 2018 sangat terperinci dan menyeluruh terutamanya memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40) berdasarkan lapan petunjang yang digariskan.

Katanya, pihaknya juga gembira dan berterima kasih kerana dua kelompok utama iaitu usahawan mikro termasuk usahawan wanita dan kedua yang membabitkan petani, nelayan, pesawah dan penoreh getah mendapat perhatian besar dalam Bajet 2018.

"Setengah billion melalui TEKUN dan tambahan RM200 juta lagi kepada AIM serta RM6.5 billion untuk petani, nelayan,

pesawah dan penoreh getah ini adalah peruntukan luar biasa sekali gus dapat meningkatkan pembinaan daya kapasiti mereka untuk berdikari dan berjaya.

"Bajet ini adalah bajet yang sangat terperinci, realistik dan bertanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 8:10pm
d