mutakhir

'Tapau' kaki tipu

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas topi dan baju VR46, The Doctor dan Red Bull tiruan berjumlah RM93,530 selepas menyerbu lapan premis di sekitar Bukit Bintang, di sini, kelmarin.

Serbuan bermula kira-kira jam 11.30 pagi membabitkan seramai 19 pegawai dan anggota penguat kuasa hasil maklumat awam.

Difahamkan, kegiatan penjualan produk tiruan berkenaan semakin rancak sempena perlumbaan Malaysia Motorcycle Grand Prix (GP) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya Wan Mhd Yusof W Taib berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya melakukan pemeriksaan di semua premis terbabit sebelum merampas sebanyak 3,247 topi dan baju-T iaitu membabitkan jenama VR46, The Doctor dan Red Bull tiruan bernilai RM93,500.

Katanya, pengecaman turut dilakukan oleh wakil pemilik cap dagang yang sah.

“Semua barangan tiruan terbabit disita bagi siasatan mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 1:03pm
d