mutakhir

Teringin ke kolej semula

Oleh HM Digital

Batu Pahat: “Farah rindu dengan kawan-kawannya dan teringin ke kolej semula seperti biasa,” kata Latib Samsuddin, 52, bapa kepada Nur Farah Afiqah, 19, yang terlantar selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan yang belum dikenal pasti pada 7 September lalu di Lebuhraya PLUS, Pagoh, Muar.

Akibat kemalangan itu, penuntut tahun dua Diploma Perakaunan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Sungai Baru, Melaka yang ketika itu sedang menunggang motosikal Honda Dash seorang diri diseret sejauh 10 meter menyebabkan tengkuknya patah selain retak tempurung kepala.

Katanya, dia menerima berita malang menimpa anak ketiga daripada enam beradik itu menerusi panggilan daripada seorang lelaki yang bertindak menularkan berita berkenaan sehingga keluarganya dapat dihubungi.

“Akibat kemalangan itu, Farah koma selama seminggu di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan mujur doktor mengatakan tiada pendarahan di kepala Farah namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 15 November depan.

“Pergerakannya memang terbatas kerana kepala dipasang besi penstabil bagi menyokong tengkuknya yang patah. Farah boleh bercakap tetapi belum lancar selain tidak mengingati apa yang berlaku ketika kemalangan,” katanya.

Latib berkata, anaknya itu adalah harapan keluarga kerana menjadi yang pertama menjejakkan kaki ke universiti dan keluarga berharap anaknya itu akan kembali sihat seterusnya menyambung cita-cita menjadi akauntan.

“Farah baru melengkapkan pembelajarannya dalam jurusan Diploma Perakaunan selama setahun setengah dan keputusan Purata Nila Gred Kumulatif yang terakhir mencapai 3.13,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 1:06pm
d