mutakhir

Ada tunggakan, kata 'pegawai bank'

Oleh Zulfa Mohamad

LELAKI yang enggan dikenali kerugian hampir RM10,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwa kononnya mangsa gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa diperdaya melalui panggilan telefon daripada individu tidak dikenali ketika berada di rumahnya di Jalan Siram.

Difahamkan, individu terbabit menyamar sabagai pegawai bank dan mendakwa mangsa ada membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan pihaknya.

'Pegawai bank' berkenaan mendakwa mangsa gagal menjelaskan bayaran balik sehingga berlaku tunggakan selama tiga bulan.

Bagaimanapun, mangsa menafikan ada membuat pinjaman berkenaan selain mendakwa tidak mempunyai akaun di bank itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudian mengugut mangsa dengan mengatakan akaun banknya akan dibekukan di Bank Negara sekali gus tidak boleh mengeluarkan wang.

Katanya, suspek turut mendakwa akan menghubungi polis Bukit Aman untuk mendakwa mangsa atas kegiatan penyelewengan wang dan meminta mangsa membuka akaun baru di bank lain jika tidak mahu didakwa.

"Mangsa yang ketakutan kemudian mengeluarkan wang RM10,000 dari akaun banknya sebelum memasukkan wang itu ke akaun bank baru diberi suspek," katanya.

Bagaimanapun, mangsa yang curiga dengan arahan suspek membuat pemeriksaan baki di bank baru berkenaan pada 7 malam hari sama sebelum terkejut sebaik mendapati wang yang dimasukkan ke akaun baru sudah hilang lalu membuat laporan di Balai Polis Butterworth.

Noorzainy berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon dari individu yang mendakwa pegawai bank kerana ia mungkin taktik untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Pemilik akaun sepatutnya membuat pemeriksaan terlebih dulu dengan bank bagi memastikan kesahihan sebelum mengikut arahan individu tidak dikenali melalui telefon," katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 7:06pm
d