mutakhir

50km jadi 10km

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Bagan Datuk: Pembinaan jambatan menghubungkan Bagan Datuk dan Kampung Sejagop di Perak Tengah yang dijangka siap pada Julai 2020 akan memberikan manfaat kepada penduduk kedua-dua dtempat itu dan daerah Manjung.

Projek bernilai RM446.9 juta itu yang memulakan pembinaannya 3 Julai lalu itu hasil peruntukan Kerajaan Pusat melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pembinaan itu sekali gus memendekkan jarak perjalanan dari daerah Bagan Datuk ke Perak Tengah iaitu dari 50 kilometer (km) kepada 10.2km.

Majlis pecah tanah Projek Membina Jambatan Bagan Datuk, Daerah Bagan Datuk ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di tapak projek berdekatan pekan Bagan Datuk, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Projek itu membabitkan pembinaan jambatan sejauh 1.5 km menghubungkan Bagan Datuk dengan Kampung Sejagop di daerah Perak Tengah serta jalan tuju ke jambatan sepanjang 8.7km, sistem pembentungan dan saliran di sepanjang jalan utama.

Selain itu, persimpangan lampu isyarat di laluan Bagan Datuk dan Kampung Sejagop turut dibina bagi melancarkan sistem aliran trafik. Laluan ini nanti dijangka menjadi laluan alternatif, sekali gus menjimatkan masa serta kos perjalanan.

Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya berkata, pembinaan itu membuktikan usaha kerajaan untuk memajukan kawasan pedalaman, sekali gus membolehkan proses perbandaran dijalankan di kawasan seperti itu.

“Menyebut tentang kawasan tertinggal dan pedalaman, ia tidak saja berada di Sabah dan Sarawak, malah di Semenanjung juga, justeru Bagan Datuk tidak terkecuali.

“Kini apabila jadi daerah ke-12 (di Perak) walaupun kawasannya kecil berbanding dalam daerah sebelum ini (Hilir Perak) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tetap memberikan tumpuan untuk dimajukan.

“Sudah tentu ia diterjemahkan melalui penelitian dalam RMK-11 dengan kos RM446.9 juta untuk pelaksanaan projek dan ia membuktikan komitmen Perdana Menteri untuk lihat Bagan Datuk menjadi daerah maju,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 7:14am
d