mutakhir

Warga emas rugi RM400,000 ditipu wanita

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Seorang lelaki warga emas yang juga pemandu bas mendakwa rugi hampir RM400,000 akibat ditipu wanita yang menjanjikan pulangan lumayan dalam urusan pembelian kereta terpakai, pengubahsuaian rumah dan pelaburan lain sejak tahun lalu.

Mangsa Goh Kiok Kuai, 67, berkata, dia mengenali wanita berusia 47 tahun itu pertengahan tahun lalu ketika mahu membeli kereta Nissan Sentra di kedai kenderaan terpakai di Pandan, di sini.

Katanya, ketika itu wanita berkenaan menawarkan kereta terbabit pada harga RM15,000 sambil mendakwa boleh mendapat keuntungan kerana mempunyai pembeli.

“Disebabkan percaya boleh membuat keuntungan, saya membayar RM15,000 dan memintanya menguruskan jualan sebelum wanita itu memasukkan RM500 sebanyak empat kali ke dalam akaun bank saya.

“Saya mula percayakan wanita itu dan pada masa sama, hubungan kami makin akrab menyebabkan kami sering keluar bersama ke pusat hiburan.

“Wanita itu mencadangkan saya mengeluarkan modal supaya dapat menambah bilangan kereta. Disebabkan mempercayainya, saya memberikan tiga kad ATM (mesin juruwang automatik) yang masing-masing mempunyai simpanan RM60,000, RM10,000 dan RM5,000,” katanya di pejabat Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Persekutuan Datuk Jason Teoh Sew Hock, di sini, semalam.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 8:00am
d