mutakhir

Nadira Azizan meninggal dunia

Oleh Georgie Joseph

Pengurus Kandungan THR Gegar, Nadira Azizan menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat denggi kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Nadira atau nama sebenarnya Khidirah Naimah Mohd Zain, 41, dimasukkan ke hospital berkenaan Isnin lalu sebelum disahkan menghidap demam denggi.

Suaminya, Hasrul Rizal Hassan berkata, isterinya menghembuskan nafas terakhir di sisinya dan keluarga.

“Isteri meninggal dunia kerana demam denggi berpanjangan. Arwah menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di sisi saya dan keluarga.

“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sekitar 12 tengah hari tadi,” katanya.

Sebelum dimasukkan ke hospital, Nadira berada di Kota Bharu bagi sesi bertemu peminat bersama THR Gegar di sana dan demam namun meneruskan program itu.

Sebaik pulang ke ibu kota, suaminya terus membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke ICU, HKL.

Nadira antara penyampai awal di EraFM (1998) di mana ketika itu saluran radio berkenaan baru saja enam bulan beroperasi.

Dia pernah bergandingan dengan penyampai popular, Halim Othman sekiranya gandingannya (ketika itu) Jamal Jamaluddin bercuti.

Bagaimanapun, Nadira menamatkan khidmatnya di EraFM selepas sembilan tahun bersama apabila ditawarkan menggalas tugas sebagai Eksekutif Muzik di THR Gegar pada 2008.

Arwah meninggalkan suami, Hasrul dan lima anak.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 12:02pm
d