mutakhir

'Saya merayu, tampillah...'

Oleh Nor Farhani Che Ad

IBU kandung kepada kanak-kanak berusia tiga tahun, Nurul Marsya Zahrina Abdullah dicari bagi membantu proses pengambilan anak angkat.

Saripah Aminah Baharuddin, 46, berkata, Nurul Marsya Zahrina dilahirkan di Hospital Batu Gajah, Perak oleh Mazlina Jeman, 25, yang berasal dari Bedong, Sungai Petani.

"Saya memang berhasrat mengambil anak angkat. Kanak-kanak ini saya ambil daripada ibunya sendiri selepas tujuh hari dia dilahirkan bersama sijil kelahirannya.

"Bagaimanapun, ketika ingin membuat perakuan sebagai anak angkat, saya gagal menghubungi ibunya sehingga hari ini," katanya.

Katanya, dia sudah merujuk perkara itu di Pejabat Pendaftaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun dia diminta untuk mencari ibu kandung kanak-kanak itu bagi melengkapkan dokumentasi proses berkenaan.

Saripah Aminah berkata, dia ada menemui ibu bapa wanita itu, namun Mazlina dikatakan tidak lagi pulang ke rumah mereka yang terletak di Taman Lembah Bujang, Bedong, di sini selepas habis berpantang.

"Ibu kanak-kanak itu kali terakhir ditemui di Taman Tupah, Merbok dan dipercayai menyewa rumah di kawasan itu.

"Ahli keluarganya ada meminta ibu kanak-kanak ini pulang untuk membantu proses pengambilan anak angkat ini, namun dia enggan dan cuba melarikan diri setiap kali menemui keluarganya.

"Saya merayu kepada wanita itu untuk tampil membantu memudahkan urusan ini, kami cuma ingin masa depan Nurul Marsya Zahrina lebih terjamin," katanya.

Saripah Aminah meminta wanita itu dapat membantu dengan menghubunginya di talian 012-5416607.

caption

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 2:23pm
d