mutakhir

Diselamatkan anggota bomba

Oleh Razif Rosli

SEORANG lelaki berjaya diselamatkan bomba selepas terperangkap di dalam bilik di rumahnya yang terbakar di Bukit Maju 2, Lumut, 9.10 pagi hari ini.

Mangsa berusia 43 tahun yang mengalami sesak nafas kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Nasir Shabiai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati berlaku kebakaran sebuah rumah dua tingkat membabitkan kawasan ruang tamu rumah itu dan dimaklumkan ada seorang mangsa terperangkap di dalam bilik di tingkat atas.

"Anggota kemudiannya bertindak memakai alat pernafasan lengkap dan masuk ke dalam rumah untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan dan mengesan mangsa berada di dalam salah sebuah bilik di tingkat atas.

"Mangsa yang berada dalam keadaan sesak nafas akibat terhidu asap kemudiannya dibawa keluar dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke HSM untuk rawatan," katanya.

Mohd Nasir berkata, rumah berkenaan yang terbakar 20 peratus dibahagian ruang tamu rumah berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada 10.12 pagi.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 3:02pm
d