mutakhir

Sekolah perlu ada perpustakaan digital

Oleh Rosliza Mohamed

KEWUJUDAN perpustakaan digital sejak tahun lalu membantu murid dan pelajar untuk memperoleh maklumat Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) secara lebih berkesan.

Berikutan itu, semua sekolah rendah dan menengah di negara ini digalak menyediakan kemudahan berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembestarian Sekolah, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Dr Suhaimi Kadir berkata, guru terlatih disediakan khusus untuk memberi tunjuk ajar bagi pencarian maklumat berkenaan.

“Kita akui pembelajaran sekarang turut ke arah penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), jadi semua sekolah rendah dan menengah digalakkan menyediakan perpustakaan digital.

"Harapan kita sekolah dapat memanfaatkannya sebaik mungkin supaya semua murid dan pelajar tidak ketinggalan dalam meneroka ICT," katanya pada Majlis Pelancaran Perpustakaan Digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Semut Api di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Semut Api Nordin Ahmad dan Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan Zailani Mahmood.

Suhaimi berkata, perpustakaan digital boleh diakses menerusi komputer dan telefon pintar selain 'netbook' sebelum mendapatkan buku berkenaan di perpustakaan biasa.

Katanya, kerjasama guru sangat mustahak untuk membangunkan platform itu di samping galakan daripada ibu bapa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelancaran Perpustakaan Digital SK Semut Api adalah yang pertama di Kelantan dan kemudahan itu akan dibangunkan secara berperingkat.

Guru Besar SK Semut Api Nordin berkata, kemudahan dibangunkan akan membantu 330 muridnya meneroka alam ICT dengan sokongan 40 netbook dan 20 komputer.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 4:42pm
d