mutakhir

Buah tangan terbesar

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Peruntukan terbesar diterima Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Bajet 2018 membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu golongan Bumiputera di negara ini dalam sektor pendidikan.

Pengerusi MARA Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, peruntukan RM2.5 bilion diumumkan itu adalah yang terbesar diterima MARA dalam sejarah penubuhannya.

Beliau berkata, seluruh warga MARA menyambut baik pengumuman itu dan terharu dengan keprihatinan kerajaan untuk terus memartabatkan golongan Bumiputera di negara ini.

“MARA berharap dapat memberi sentuhan kepada golongan Bumiputera dan akan mempertingkatkan rangkaian institusi pendidikan MARA bagi mewujudkan persekitaran menarik untuk pelajar.

“Buat masa ini, jenama institusi pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) semakin dikenali dalam pasaran,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-34 Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Kolej University Poly-Tech MARA (KUPTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Katanya, pihaknya akan memberi perkhidmatan terbaik dalam membantu golongan Bumiputera di negara ini terutama yang memerlukan bantuan.

Mengulas mengenai peruntukan penyelenggaraan MRSM sebanyak RM50 juta, Awang Adek berkata, bantuan itu akan digunakan sepenuhnya bagi membaik pulih MRSM yang uzur di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, katanya, beliau juga mahu lebih ramai pihak swasta dan korporat tampil menjalinkan hubungan strategik dengan MARA bagi pembinaan MRSM yang baru sebagaimana dilakukan Petronas bagi pembinaan MRSM di Ranau, Sabah dan Bintulu, Sarawak.

“Kedua-dua MRSM berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun dan dijangka memberikan manfaat pembangunan pendidikan di negeri berkenaan.

“Apabila siap kelak, MARA akan menyediakan tenaga pengajar dan pengurusan,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 9:06am
d