mutakhir

Bot tempatan, nelayan asing ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama seorang tekong dan tiga awak-awak warga Myanmar, kira-kira 12 batu nautika dari barat daya Kuala Sungai Bernam dekat Hutan Melintang, semalam.

Dalam kejadian jam 4.35 petang, semua nelayan warga asing itu ditahan kerana melanggar syarat lesen oleh sepasukan anggota Daerah Maritim 3 Lumut.

Difahamkan, bot berpangkalan di Sungai Besar, Selangor itu sudah empat hari berada di laut dan mendaratkan 400 kilogram pelbagai hasil laut.

Pengarah Maritim Daerah Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Kapal Maritim Gagah diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Husaimi Husin ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kru warga asing terbabit berusia 21 hingga 43 tahun juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan media di Lumut, hari ini.

Beliau berkata, bot bersama semua warga asing itu kemudian diiring ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imgiresen 1959/63.

Menurutnya, pihaknya akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan zon tangkapan ikan.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 12:42pm
d