mutakhir

Sudahlah tu..pulanglah Intan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MERAJUK akibat dimarahi dikatakan punca seorang remaja perempuan berusia 15 tahun

menghilangkan diri hingga kini selepas keluar dari rumah ibu saudaranya itu di Taman Kekwa, Seremban sejak minggu lalu.

Intan Nurafiqah Mohd Zaaba dikatakan dimarahi ibu saudaranya kerana membuat bising di hadapan rumah bersama beberapa rakan lain sebelum terus keluar membawa beg pakaian, kira-kira jam 7 malam, 21 Oktober lalu.

Ibu remaja itu Norhasniza Hashim, 35, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu tinggal sementara bersama ibu saudaranya sepanjang menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kerana mahu menumpu perhatian kepada peperiksaan itu.

“Intan ada berjanji mahu pulang ke rumah di Pantai, Seremban pada Isnin (23 Oktober). Namun, saya menerima panggilannya pada 21 Oktober lalu memberitahu mahu pulang ke rumah pada hari itu dan tidak menghalangnya.

“Selepas lama menunggu, Intan tidak juga pulang menyebabkan saya menghubunginya tetapi gagal. Saya kemudian menghubungi adik yang juga ibu saudaranya itu dan dia memberitahu Intan sudah keluar rumah menaiki Uber,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anaknya ada menghantar mesej melalui Facebook seolah-olah berkecil hati dan meminta keluarga supaya tidak mencarinya lagi kerana dia mahu pergi.

Katanya, bimbangkan keselamatan anaknya itu, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Pantai pada 23 Oktober.

“Dia mungkin merajuk kerana dimarahi ibu saudaranya yang menyuruh dia pulang ke rumah jika terus membuat bising. Disebabkan itu, dia menghilangkan diri,” katanya.

Norhasniza merayu anaknya itu pulang semula ke pangkuan keluarga serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Intan Nurafiqah supaya menghubunginya di 018-3100142.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 1:38pm
d