mutakhir

Kan dah patah hidung...

Oleh Zairee Mohd Yasak

PENAGIH dadah berusia 33 tahun patah hidung selepas terbabit dalam kemalangan ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pegawai penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyerbu sarang penagihan di bekas tapak pelupusan sampah di Krubong, Melaka Tengah, hari ini.

Difahamkan lelaki itu memecut motosikal selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa AADK sebelum terbabas ketika melalui selekoh.

Motosikal itu gagal dikawal dan melanggar pokok menyebabkan lelaki berkenaan patah hidung.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa AADK negeri Nor Azmi Sattar berkata, lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan menghidap HIV.

"Dalam operasi itu kami turut menahan lima orang kena pengawasan (OKP) yang datang ke sarang penagihan untuk melepaskan gian.

"Selain itu, seramai 54 lelaki berusia 22 hingga 65 tahun disyaki penagih dadah ditahan," katanya.

Nor Azmi berkata, bekas tapak pelupusan sampah seluas 25.5 hektar itu dikesan menjadi tumpuan penagih di negeri ini.

Menurutnya, penagih dipercayai berpindah ke lokasi itu selepas ‘sarang lama’ terletak hanya 500 meter diserbu Ogos lalu.

“Tujuh daripada penagih ditahan diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan tersenarai sebagai individu dikehendaki," katanya.

“Baki dibawa ke Pejabat AADK di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 5:33pm
d