mutakhir

Barang tiruan RM96,720 dirampas

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas pelbagai jam dan kasut berjenama tiruan serta cakera video digital (DVD) bernilai RM96,720 dalam serbuan di Pasar Borong Pandan, Johor, malam ini.

Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok berkata kejayaan berkenaan hasil risikan dan pemantauan sepasukan 70 anggota penguatkuasa KPDNKK diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Aris Mamat, pada jam 8 malam tadi.

"Pemeriksaan besar-besaran ini diadakan di kawasan perniagaan Pasar Borong Pandan di sini, bagi membanteras penjualan barang tiruan yang dilakukan ke atas premis menjual kasut, jam tangan serta VCD di dalam pasar raya itu.

"Pemeriksaan lanjut terhadap 154 premis mendapati 10 daripadanya menjual barangan disyaki tiruan, manakala 57 yang lain membabitkan penandaan harga dan notis jualan murah," katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Katanya, didapati sebuah premis yang dijadikan stor bagi membekalkan kasut berjenama tiruan pernah diambil tindakan tahun lalu.

"Premis berkenaan tidak serik kerana masih menjalankan aktiviti menjual kasut tiruan berjenama seperti Adidas dan NIKE," katanya.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan barangan ini, namun barangan berkenaan untuk pasaran sekitar negeri ini.

"Kami percaya ia dipasarkan di sekitar pasar borong dan kedai kecil yang menjual barangan tiruan dengan harga serendah RM50 sepasang bergantung kepada jenis dan kualiti barangan itu," katanya.

Katanya, semua barangan itu disita di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun," katanya.

Katanya, 57 premis dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu berkaitan penandaan harga, manakala dua lagi APD 2011 membabitkan notis jualan murah.

Beliau berkata, pihak KPDNKK Johor akan terus menjalankan operasi sama ke atas premis yang menjual barangan tiruan jenama berkenaan termasuk premis menjual barang cetak rompak.

"Melalui pemantauan dan pemeriksaan berterusan, diharapkan dapat mewujudkan lebih banyak premis perniagaan menjalankan perniagaan secara beretika dengan peraturan dan perundangan dikuatkuasakan.

"Pengguna pula berhati-hati membuat pembelian ke atas barangan di pasaran," katanya.

Berdasarkan rekod, bermula 1 Januari hingga 30 September lalu, KPDNKK Johor menghasilkan 298 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai RM610,330.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:13pm
d