mutakhir

Tadbir urus yang baik dasar pentadbiran kerajaan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tadbir urus yang baik sudah menjadi dasar pentadbiran kerajaan selepas beliau mengambil alih kepimpinan sejak 2009.

Menurut Najib, amalan tadbir urus yang baik yang diamalkan kerajaan ketika ini adalah seiring dengan konsep demokrasi.

Katanya, tiga inisiatif yang diperkenalkan iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Program Transformasi Ekonomi (ETP) mengandungi elemen tadbir urus kerajaan yang baik.

"Konsep 1Malaysia diperkenalkan untuk memupuk nilai perpaduan dan harmoni dalam kalangan masyarakat dan ia adalah falsafah utama dalam memacu negara yang berbilang etnik serta kepercayaan seperti Malaysia untuk bergerak ke hadapan.

"Program GTP pula adalah inisiatif untuk menambahbaik prestasi kerajaan dalam usaha memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat.

"Manakala program ETP pula penting dalam memastikan Malaysia dapat mencapai sasaran menjadi negara membangun dan berpendapatan tinggi meskipun berdepan suasana ekonomi global yang mencabar," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden UNAM, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail dan Timbalannya, Tan Sri Razali Ismail.

Jelas Najib lagi, tadbir urus yang baik berkait rapat dengan amalan demokrasi dan di bawah pentadbirannya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang wujud sejak 60 tahun lalu turut dimansuhkan.

Selain itu, dalam usaha untuk memperkukuhkan negara, kerajaan turut

memperkenalkan program Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai inisiatif jangka pembangunan panjang.

Kata beliau, TN50 adalah satu pendekatan baru dan berinovasi dalam mewujudkan sesuatu dasar.

"Kita mengambil kira semua pandangan rakyat kerana ia adalah satu proses membabitkan akar umbi.

"Selain itu, idea dan aspirasi golongan muda di bawah umur 40 tahun juga diambil kira dalam membentuk formula terbaik bagi negara untuk menuju ke tahun 2050.

"Ini adalah antara contoh jelas amalan tadbir urus yang baik diamalkan kerajaan dalam memenuhi perubahan keperluan golongan muda," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, tuduhan bekas pemimpin negara sebelum ini kononnya Malaysia berada dalam senarai '10 negara Paling Korup' juga tidak berasas sama sekali.

"Berdasarkan kedudukanpenarafan terkini tranparensi antarabangsa, Malaysia bukan bukan dalam senarai yang dikatakan malah juga bukan dalam senarai 100 negara paling korup di dunia.

"Kita cabar dia untuk memberikan bukti tetapi tidak dapat dilakukan kerana semua tuduhan itu sememangnya tidak berasas," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:27pm
d