mutakhir

'Kami bangga dengan pencapaiannya...'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

MESKIPUN M Kugen meninggal dunia akibat kanser usus pada Mei lalu, keluarganya tetap berbangga dengan pencapaian penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi itu ketika mewakili mendiang mengambil ijazah berkenan pada Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Ibunya, S Maligga, 55, berkata Kugen menyedari simptom kanser berkenaan pada Disember tahun lalu, namun merahsiakan penyakit berkenaan daripada keluarga dan berusaha menamatkan pengajiannya.

Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu dikatakan sudah beberapa kali menjalani pemeriksaan di klinik dan hospital, namun doktor hanya mengesyaki Kugen mengalami sakit otot biasa berikutan aktif membina badan di gimnasium.

Katanya, pemeriksaan lanjut di hospital swasta pada April lalu mendapati Kugen disah mengidap kanser dan mendiang tetap melawan penyakitnya walaupun tewas dan menghembuskan nafas terakhir sebulan kemudian.

"Dia anak yang bijak dan walaupun dia sudah tiada, kami berbangga menggenggam ijazah ini yang akan menjadi kenangan untuk ditunjukkan kepada generasi kami.

"Sehingga ke akhir hayatnya, dia berusaha menyembunyikan kesakitannya supaya keluarga tidak risau, begitulah sikap Kugen, dia anak baik," kata surirumah yang menetap di Klang, Selangor itu.

Maligga hadir bersama suami, G Balasubramaniam, 57, mewakili Kugen untuk menerima ijazah berkenaan yang disampaikan Pro-Canselor Tan Sri Mustafa Mansur. Hadir sama, rakan baik Kugen, M Kesavan, 23, yang mengenali mendiang sejak 20 tahun lalu.

Kesavan berkata, dia turut berasa kehilangan Kugen kerana mereka sudah merancang meraikan kejayaan itu beberapa bulan sebelum mendiang meninggal dunia dan ketika itu Kugen kelihatan sihat serta ceria.

"Jika dia masih ada, sudah tentu saya berasa gembira kerana kami tidak pernah berenggang dan seperti adik beradik, tidak sangka secepat itu kami kehilangannya," katanya.

Pada upacara konvokesyen bermula pada 28 Oktober lalu hingga 2 November depan, seramai 6,850 graduan daripada pelbagai aliran diraikan termasuk Ijazah Kehormat (1), Prof Emeritus (1), Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana (2,043), Ijazah Sarjana Muda (4,759) dan Diploma Kejururawatan (48).

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:34pm
d