mutakhir

Pujuk sambung sekolah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan memujuk Syawal Mukhriz Abdul Razak,14, untuk bersekolah semula agar tidak terus tercicir dalam pelajaran.

Pengawai JPN Kedah Abdullah Abdul Manaf berkata, pihaknya menyemak status Syawal Mukriz yang dibuang sekolah pada 20 Ogos lalu.

Katanya, tindakan itu diambil mengikut prosedur JPN selepas mengeluarkan surat amaran sebanyak tiga kali kepadanya sebelum ini.

"Surat amaran itu dikeluarkan kali pertama pada 3 Mac 2017 disusuli surat kedua pada 11 Mei, manakala surat amaran kali ketiga pada 14 Julai, namun masih tiada sebarang jawapan.

"Selepas itu barulah surat diberhentikan sekolah dikeluarkan pada 20 Ogos lalu. Bagaimanapun kita masih berharap agar pelajar ini akan kembali ke sekolah dan Pengarah JPN negeri, Datuk Azuyah Hassan mahu pihak saya memujuk pelajar ini kembali sekolah," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan pergi ke rumah pelajar itu untuk memujuknya selain melihat sendiri situasi sebenar Syawal Mukhriz bersama neneknya.

"Jika dia berminat menyambung pengajiannya, kami akan membantu memudahkan proses dia kembali ke sekolah," katanya.

Abdullah berkata, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah itu pernah mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tahun lalu.

Semalam, Metro melaporkan Syawal Mukriz,14, dari Kampung Alor Gunung, Seberang Pantai Johor, berikrar untuk menjaga dan menemani neneknya, Azilah Walad,67, selama-lamanya.

Azilah yang buta akibat kemalangan 10 tahun lalu hilang punca pendapatan menjual kuih dan kini mengharapkan ihsan rakan dan orang ramai untuk kelangsungan hidup.

Syawal Mukhriz dijaga oleh Azilah sejak dilahirkan enggan ke sekolah sejak awal tahun ini berikutan mahu menjaga neneknya di rumah.

Berita berkaitan

Ikrar jaga nenek sampai akhir hayat

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:51pm
d