mutakhir

Pernah ditipu, hampir gagal...

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

PERNAH ditipu dan hampir gagal memasarkan produk sos pencicah ke seluruh Malaysia, namun Zarinah Mohd Zain, 58, tidak pernah patah semangat sebaliknya, nekad berusaha walaupun jalan dilalui penuh liku.

Katanya, memasarkan sos pencicah yang menggunakan jenama UMMI itu tidak mudah, namun selepas 20 tahun, dia kini boleh berbangga apabila produknya sebaris jenama terkenal lain.

Wanita cekal itu ditemui selepas menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya sempena Hari Peladang, Penternakan dan Nelayan serta Ekspo Teknologi Hijau Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, hari ini.

Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fai-iz Petra mencemar duli hadir merasmikan program itu dan berkenan menyampaikan hadiah kepada 16 penerima anugerah termasuk Zarinah.

Menurut Zarinah, ilham memulakan perniagaan sos pencicah diperoleh selepas melihat ibunya, Sabariah Yaakob, 75, sering membawa pulang keropok lekor tanpa sos yang sesuai.

"Disebabkan susah untuk mendapatkan sos yang sedap, saya memasak sendiri sos pencicah dan timbul idea untuk menjadikannya satu produk tempatan dan dilabelkan dengan nama UMMI.

"Modal permulaan ketika itu hanya RM100,000. Saya dibantu suami, Zahari Zainal Abidin, 63, memulakan pasaran kami di Machang terlebih dahulu sebelum meluaskannya ke semua daerah di Kelantan.

"Alhamdulillah selepas 20 tahun, kami kini sudah memasarkan sos UMMI di seluruh negara dan untung kasar boleh cecah RM200,000 sebulan selain dapat memperkenalkan beberapa jenis sos lain di bawah jenama sama," katanya.

Zarinah berkata, berkat kesabaran mereka dan dorongan keluarga serta pihak berkaitan, UMMI mendapat permintaan yang memberangsangkan dan turut dipasarkan di beberapa pasar raya besar seperti Mydin, Giant dan Tesco.

Menurutnya, perniagaan keluarga itu kini diteruskan anak sulungnya, Siti Sarah, 32, yang sanggup berhenti kerja sebagai akauntan di Melaka bagi memastikan legasi sos pencicah UMMI berterusan.

Katanya, dia juga pernah ditipu pihak tertentu ketika mahu menembusi pasaran di Acheh, Indonesia beberapa tahun lalu, namun insiden itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya tekad mengukuhkan nama di pasaran tempatan.

"Saya berharap Siti Sarah dapat kembangkan lagi perniagaan ini di masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:56pm
d