mutakhir

Kubur rosak

Oleh Nasrawati Syarifuddin

HAMPIR 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Megah Jaya di Batu 3 ½, Jalan Apas, Tawau, rosak akibat tanah runtuh, hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Yusof Abdul Abbas berkata, tanah runtuh itu dipercayai akibat hakisan tanah susulan hujan lebat berterusan yang melanda Tawau, sejak beberapa hari lalu.

"Berdasarkan pemerhatian di tanah perkuburan itu, tanah runtuh menyebabkan kubur rosak dan kepok kubur beralih daripada kedudukan asal.

"Pemeriksaan juga mendapati hakisan tanah berlaku membabitkan kubur di kawasan lereng bukit yang terletak paling berhampiran dengan rumah penduduk.

"Hampir semua kubur yang rosak terletak di kawasan paling hujung di lereng bukit itu," katanya selepas melakukan pemeriksaan di tanah perkuburan terbabit, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengenal pasti status tanah berkenaan sama ada ia adalah tanah wakaf atau sebaliknya.

“Jika belum (diwakafkan), kita akan hubungi pemilik asal tanah. Jika ia adalah tanah yang sudah diwakafkan, pihak kami akan membantu membina tembok dan membaik pulih kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh itu," katanya.

Difahamkan, jarak tanah runtuh itu terletak kira-kira 20 meter daripada kawasan perumahan berhampiran.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan perumahan berhampiran, Prasad Ridwan, 49, berkata,ia bukan kejadian tanah runtuh pertama di

tanah perkuburan itu.

"Bagaimanapun, ini kejadian paling buruk menyebakan ada penduduk yang rumahnya betul-betul di bawah lereng bukit berkenaan tidak dapat membuka pintu dapur mereka.

“Beberapa rumah di kawasan ini menghadapi masalah apabila runtuhan tanah menimbus kawasan di belakang dapur rumah mereka," katanya.

Katanya, pada kejadian sebelum ini, dua kubur rosak apabila tanah runtuh di kawasan lereng di tapak berkuburan itu.

"Namun, hari ini, lebih banyak kubur rosak akibat hujan yang berterusan selama tiga hari berturut-turut,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 12:05am
d